Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, antara kesalahan itu adalah mengenakan yuran terselindung, enggan membayar baki yuran daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selain graduan ditipu pelbagai janji manis.

Menurutnya, pendedahan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini mengenai tindakan IPTS yang didakwa melakukan pelbagai tindakan melanggar peraturan Akta 355 akan disiasat.

“Kita ada Sistem Penilaian Kualiti Kolej Swasta Malaysia (MyQUEST) untuk mengkaji status dan kedudukan kolej.

“Ini untuk pastikan kolej yang ada adalah tulen dan menjalankan tanggungjawab de­ngan baik,­” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan projek fasa 2 pembinaan kampus Fakulti Teknikal dan Vokasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Teluk Intan di sini hari.

Hadir sama, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Azhar Jamaluddin dan Naib Canselor UPSI, Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.

Idris berkata, pembinaan projek fasa dua di Batu 4, Changkat Jong di sini dijangka siap sepenuhnya Disember 2019.

Katanya, projek yang bermula pada 2014 selepas diumumkan Perdana Menteri semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan itu kini memasuki fasa kedua selepas selesai fasa pertama iaitu proses pengambilalihan tanah, pembersihan, rawatan dan tambakan.

Katanya, majlis pelancaran hari ini melibatkan pembinaan fasa kedua UPSI Kampus Teluk Intan selepas kerja-kerja tanah yang bermula 2015 siap pada tahun lalu.