Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan tegas dan segera ke atas artis itu perlu kerana apa yang dilakukan Namewee dibimbangi akan mencetuskan tindak balas agresif daripada sesetengah pihak yang akhirnya boleh menjejaskan keharmonian antara kaum.

“Saya nampak Nameewee ini semakin melampau, kalau sekali dua kita boleh maafkan. Saya anggap tindakannya membuat provokasi melampau terhadap umat Islam, kalau dia hendak menari di dalam hutan dia punya pasal kenapa mesti seolah-olah mencabar umat Islam.

“Kalau rakyat kita masih boleh berdiam tidak mengambil tindakan Alhamdulillah tetapi saya takut kalau dibiarkan nanti ada antara kita yang ekstrem ini akan mengambil tindakan sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis kenduri kampung di pekarangan Surau Kampung Paya Mengkuang Ladang di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pemuda UMNO Bera, Mohd. Zoolihsan Ahmad dan Ketua Puteri UMNO Bera, Salmiah Abdul Rahman.

Baru-baru ini Namewee memuat naik klip video sempena Tahun Baharu Cina bertajuk Like A Dog yang memaparkan individu memakai topeng anjing melakukan tarian lucah berlatarbelakangkan bangunan Pe­jabat Perdana Menteri dan Masjid Putra di Putrajaya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, pihak terbabit khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu melakukan tindakan berdasarkan undang-undang.

Katanya, tindakan segera perlu dilakukan terhadap Namewee bagi mengelakkan ruang kepada mana-mana pihak yang mungkin mengambil kesempatan mencetuskan ketegangan antara kaum di negara ini.

Dalam pada itu katanya, tindakan tegas perlu dikenakan bagi memberikan pengajaran kepada orang ramai supaya tidak me­lakukan perkara yang boleh mengganggu gugat sensitiviti kaum lain di negara ini.

“Kita semua masyarakat berbilang kaum hidup harmoni dan tidak ada masalah tetapi tiba-tiba dia membuat provokasi yang boleh menyebabkan ketegangan kaum, jadi dia patut dikenakan tindakan bagi menyelesaikan isu ini,” ujarnya.