Baginda bertitah, kata-kata penghinaan yang diungkapkan dan tindakan-tindakan berunsur dendam, ugutan, tangkapan, tahanan dengan kaedah soal siasat yang mengandungi elemen-elemen seksaan dan deraan telah memberi imej sangat negatif terhadap cara Islam diamalkan di negara ini.

“Hari ini kesucian dan nama baik Islam semakin tercemar di negara ini oleh perbuatan individu dan pendirian institusi tertentu yang membenarkan para petugas mela­kukan pelbagai tindakan atas tujuan mahu menguatkuasakan pera­turan untuk melindungi Islam,” titah baginda sewaktu merasmikan majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Sultan Nazrin bertitah, Islam juga tidak mengizinkan perbuatan memulau mana-mana kumpulan atau memutuskan silaturahim dengan mana-mana individu hingga ke tahap penghinaan dengan tidak mahu menguruskan jenazah seseorang yang telah meninggal dunia, hanya berpunca daripada perselisihan tafsiran dan panda­ngan.

Titah baginda, perbuatan-perbuatan sedemikian adalah perbuatan melampau dan keterlaluan yang sangat bercanggah dengan sifat-sifat mulia yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW.

Baginda bertitah, perbuatan dan tindakan sedemikian wajib diberhentikan dan dibanteras secara tegas kerana Islam menganjurkan kesederhanaan.

“Oleh itu majoriti umat yang berpegang kepada amalan kese­derhanaan, wajib bangun bersua­ra dan suara majoriti ini jangan sama sekali merelakan untuk ditenggelamkan oleh kumpulan ekstrem yang minoriti,” titah ba­ginda.

Sultan Nazrin turut meminta golongan pendakwah meneliti metodologi dakwah dan kaedah yang digunakan untuk mena­ngani pelbagai isu agama dalam kalangan masyarakat hari ini.

Baginda menggariskan tiga kaedah yang dapat memperkasa intelek­tualisme dakwah dan membawa kesejahteraan kepada ummah.

“Pertama ialah pendekatan dakwah dengan hikmah, kedua memberi pengajaran dan peringatan yang baik dan ketiga ialah perdebatan dengan cara yang tertib dan sopan.

“Tidak ada satupun kaedah tersebut yang menganjurkan kekerasan, menjatuhkan kehormatan dan mencetuskan ketegangan. Sebaliknya masyarakat dianjurkan untuk memperoleh kebaikan de­ngan cara yang bijak, sopan, tertib dan beradab,” titah baginda.