Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap syarikat-syarikat yang didapati mengenakan caj-caj seumpama itu.

Menurutnya, langkah tegas itu adalah bagi memastikan golongan pengguna tidak lagi dikenakan caj-caj tersembunyi yang membebankan mereka.

“Ini semuanya kita akan lihat kembali kerana caj-caj tersembunyi ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dikenakan kepada pengguna.

“Jadi, pihak Mavcom akan mengkaji dan melihat kalau mana-mana syarikat penerbangan mengenakan caj-caj tersembunyi ini, kita akan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya ketika berucap melancarkan platform maklumat FlySmart di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anthony pada sidang akhbar selepas itu menepis dakwaan Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia mengatakan beliau tidak memahami tuntutan sebenar kumpulan pemandu teksi di negara ini berhubung perkhidmatan teksi menggunakan aplikasi atau e-hailing.

Katanya, beliau memahami kemahuan golongan tersebut yang mahu kerajaan melarang terus syarikat-syarikat e-hailing di negara ini tetapi kementerian perlu mengimbangi kepentingan pemandu teksi dan rakyat keseluruhannya.

“Jadi, tidak timbul saya tidak faham pemandu teksi. Seperti saya cakap sebelum ini, kerajaan tidak akan melarang perkhidmatan itu sebab kita kena mengimbangi kepentingan pemandu teksi dan orang ramai,” katanya. - UTUSAN ONLINE