Quintin Rozario, peguam cara kelahiran Malaysia berpejabat di Brisbane, Australia berkata, sepanjang beberapa bulan  lepas, banyak pengulas dan pengkritik menyuarakan  keprihatinan mereka berhubung Akta Perlucuthakan Sivil yang digunakan DoJ bagi menghalalkan tindakan merampas kapal mewah itu, yang dikatakan milik ahli perniagaan Malaysia Low TaekJho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Beliau memberitahu Bernama, bahawa walaupun Perlembagaan Amerika adalah berlandaskan prinsip kesamarataan dan keadilan, yang diguna pakai dalam melaksanakan dan menguatkuasakan semua undang-undangnya, tetapi Akta Perlucuthakan “kini diguna pakai secara terang-terangan sebagai alat untuk menindas dan melancarkan perang saraf ekonomi oleh satu demi satu pentadbiran Amerika bagi mencapai kehendak mereka terhadap negara lebih kecil".

Rozario juga menyokong pendapat Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak bahawa DoJ tidak menunjukkan sebarang "bukti  nyata" Jho Low adalah pemilik kapal mewah yang dirampas di Bali pada 28 Februari itu sebagai sebahagian daripada penyiasatan DoJ, yang bermula pada 2016, terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"DoJ belum membuktikan walau satu pun daripada dakwaannya di mahkamah keadilan, walaupun sudah hampir dua tahun berlalunya sidang akhbar sensasi yang diadakannya pada Julai 2016," kataSalleh.

Rozario berkata: "Hakikatnya ialah DoJ mahu merampas harta milik individu tertentu yang dikatakan  telah  menipu 1MDB, tetapi bukan harta 1MDB sendiri. Alasan itu sendiri adalah sesuatu yang meragukan sekiranya seseorang itu mengambil kira bahawa 1MDB bukanlah pihak yang membuat aduan terhadap individu berkenaan dan tidak pernah langsung mengemukakan sebarang aduan.

"1MDB adalah satu-satunya pihak yang mempunyai kedudukan di sisi undang-undang untuk mengemukakan aduan dan mengambil tindakan untuk mendapatkan kembali asetnya dalam keadaan seperti itu."

Peguam itu berkata, walaupun mengikut Akta berkenaan, adalah memadai bahawa dengan mengesyaki seseorang defendan telah melakukan jenayah dan mengaitkan antara harta yang dirampas itu dengan perlakuan kesalahan jenayah bagi mewajarkan tindakan perlucuthakan diambil, tetapi hanya mahkamah keadilan yang mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada sesuatu jenayah telah dilakukan.

Rozario menyifatkan Akta Perlucuthakan Sivil sebagai "undang-undang yang tidak baik" dan kata beliau, sesebuah negara bertamadun tidak sepatutnya membenarkan ia dikuatkuasakan atau memberi  kerjasama dengan melaksanakan peruntukan undang-undang itu di wilayah mereka.

Sejurus selepas kapal mewah itu dirampas, Jho Low segera mengeluarkan  kenyataan yang menyelar DoJ kerana melakukan "global outreach" serta mendakwa beliau telah menjadi mangsa dalam penganiayaan politik.-BERNAMA