Khairil Azmin
Khairil Azmin

Pensyarah Undang-Undang Uni­versiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Khairil Azmin Mokhtar berkata, remaja tidak bersekolah pastinya akan hilang arah tuju serta lebih cenderung melibatkan diri dengan gejala sosial yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata, semua pihak termasuk kerajaan dan pihak pembangkang perlu mengenepikan soal politik sebaliknya berbincang penyelesaian terhadap masalah sosial melibatkan remaja bawah umur yang semakin membimbangkan.

“Mereka tidak boleh ‘dibuang’ begitu sahaja tetapi perlu ada proses baik pulih untuk mereka perbetulkan diri dan menguasai bidang tertentu seperti teknikal atau vokasional.

“Jika tidak, mereka menjadi golongan ‘rapuh’ dan mudah dimanipulasi oleh penjenayah, malah boleh dipengaruhi ekstremis dan pengganas untuk bertindak di luar kawalan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tujuh remaja disahkan menjadi punca kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini yang mengorbankan 23 orang, 14 September lalu.

Enam daripada tujuh suspek pernah bersekolah sebelum ini, namun mereka telah dibuang akibat masalah disiplin.

Mengulas mengenai hukuman terhadap suspek kebakaran tahfiz yang kebanyakannya di bawah umur dan tidak bersekolah, Khairil Azmin berkata, tindakan perlu mengambil kira hak dan peluang kanak-kanak itu untuk menjadi manusia yang berguna di masa depan.

“Walaupun kita nampak jenayah yang mereka lakukan begitu terancang, anda perlu faham bahawa mereka ini masih kanak-kanak dan kapasiti mental mereka tidak sama dengan orang dewasa.

“Kes mereka ini perlu diklasifikasikan sebagai juvana dan hukuman yang dikenakan harus bagi membentuk mereka menjadi orang yang berguna kelak. Kita tidak boleh salahkan mereka 100 peratus kerana anak-anak ini adalah hasil daripada apa yang kita buat,” katanya.