Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai penggunaan bekas tin susu dan tin-tin lain yang dikitar semula itu kerana tular di media sosial.

Katanya, penggunaan tin kitar semula berisiko kepada para pengguna kerana kebersihannya yang diragui selain kemungkinan terdapat permukaan tin yang kemek.

"Penggunaan tin kitar semula juga boleh mencederakan pengguna semasa minum kerana permukaannya yang tajam.

"Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai khususnya peniaga makanan menghentikan penggunaan tin yang dikitar semula dalam penyediaan minuman," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tegas Dr. Noor Hisham, para peniaga dinasihatkan supaya menggunakan bekas minuman yang bersesuaian bagi mengelakkan pencemaran makanan dan bahaya kepada kesihatan.

Kata beliau, mengikut Seksyen 13 Akta Makanan 1983, sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang di dalamnya mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. - UTUSAN ONLINE.