Pengarah ILP Kota Bharu, Zainudin Ahmad berkata, beliau telah berjumpa pegawai terbabit dan turut menasihatkannya menjalani pemeriksaan tekanan di hospital.


Beliau berkata, pihaknya memberi jaminan akan membayar ganti rugi kepada pelajar yang mengalami kerosakan motosikal akibat insiden itu.


“Kita tidak boleh seratus peratus salahkan dia, kita akan buat siasatan secara terperinci dan menyelesaikan masalah ini segera. Secara peribadinya bagi saya dia kakitangan yang baik, mungkin ada sesuatu yang menyebabkan terjadi demikian.


“Kejadian ini pertama kali dalam sejarah institusi di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) tetapi ia tidak boleh dipandang ringan kerana membabitkan imej Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Sejak semalam video aksi seorang lelaki yang dikatakan merupakan Timbalan Pengarah ILP berkenaan dalam keadaan marah-marah dan menendang beberapa buah motosikal di kawasan surau institut itu tular di media sosial. 


Sementara itu, meskipun tidak menafikan keseriusan insiden berkenaan, Zainudin berharap ia tidak akan mengurangkan keyakinan masyarakat kepada ILP meneruskan kecemerlangan sebagai salah sebuah institusi yang bertangguungjawab melahirkan tenaga kerja berkemahiran untuk negara.


Menurutnya lagi, pegawai tersebut juga akan dipanggil berjumpa Ketua Pengarah JTM, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar yang akan turun ke ILP Kota Bharu esok. - UTUSAN ONLINE