Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad yang turut menyifatkan pelantikan tersebut merupakan pengiktirafan ke atas perkhidmatan cemerlang Shukri sepanjang bersama dengan MBSA.

"Kerjasama yang diberikan oleh Shukri sepanjang berada di MBSA membuktikan komitmen beliau terhadap tugasan yang diberi. Beliau telah berjaya melaksanakan segala amanah dengan penuh dedikasi dan saya berharap beliau kembali ke Shah Alam kembali satu hari nanti," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Budi Disanjung, Jasa Dikenang untuk meraikan Shukri di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi MBSA, Shahrin Ahmad memberitahu, majlis tersebut turut diadakan bagi meraikan 23 orang Ahli-Ahli MBSA yang telah berkhidmat sejak dua tahun lalu.

Katanya, Ahli-Ahli MBSA memainkan peranan penting sebagai tonggak utama di dalam pentadbiran MBSA.

"Ahli-Ahli Majlis bertindak sebagai perantara di antara pihak MBSA dan masyarakat. Mereka bertanggungjawab untuk menyalurkan permasalahan di kalangan penduduk di Shah Alam dan juga menyampaikan pelbagai maklumat MBSA kepada penduduk, terutama perkara-perkara berkaitan dasar," ujarnya. - UTUSAN ONLINE