Pengurus Besar Taman Ak­ti­viti Angry Birds, Tony Lika ber­kata, pihaknya menyambut ba­ik program berkenaan yang dilihat mampu memperkenalkan taman aktiviti itu kepada umum selain menjadi salah satu bentuk penghargaan kepada pengunjung sempena ulang tahun pertamanya.

“Taman Aktiviti Angry Birds ini adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan mempunyai pelbagai jenis permainan dan aktiviti yang sesuai untuk golongan berkeluarga meng­habiskan masa berkualiti bersama anak-anak.

“Pengunjung taman aktiviti itu bakal disajikan dengan permainan interaktif antaranya Lazer Maze Spaceship, Classic Tower Play dan Trampolin Anti-Gravity dan ia dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam,” katanya selepas majlis penyerahan replika cek tajaan Kumpulan Utusan dan Damansara Assets Sdn. Bhd.

Program Peraduan Kumpul dan Tebus dengan kerjasama Kum­pul­an Utusan itu berlangsung se­la­ma sebulan dan orang ramai hanya perlu mengumpul 15 keping masthead Utusan Malaysia/Ming­guan Malaysia bermula ke­luaran Isnin lalu hingga 16 Disember ini un­tuk sekeping tiket.

Peraduan tersebut me­nye­dia­kan sebanyak 3,500 keping ti­ket percuma.

Penebusan tiket adalah ber­dasarkan kepada pendekatan ‘siapa cepat dia dapat’ dan hanya boleh dilakukan di Pejabat Biro Utusan Malaysia Johor di Jalan Serampang, Taman Pelangi, di sini.

Bagi memudahkan orang ramai menebus tiket percuma masing-masing, pihak Utusan Malaysia akan menyediakan kaunter pada setiap hari Sabtu dan Ahad mulai pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari atau boleh menghubungi talian 07-3335738 atau 07-3347420.

Tiket berkenaan boleh di­gu­­na­kan pada bila-bila masa ter­masuk hari cuti umum dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dan tempoh sah laku tiket adalah sehingga 31 Janua­ri 2016.