Menurut Pengurus Kanan Operasi Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Faizal Redza Redzuan, tiket untuk laluan utara selatan hanya tinggal kira-kira 15 peratus sahaja manakala laluan pantai timur hanya berbaki kurang dari 5 peratus.

“Kebanyakan destinasi utama memang mencatatkan jualan tiket yang laris seperti Kota Bharu, Kuala Terengganu, Gua Musang, Sungai Petani, Alor Setar, Butterworth, Johor Bharu dan Larkin. Destinasi paling laris setakat ini adalah sektor pantai timur terutamanya Kota Bharu.

“Kita memang menyediakan bas tambahan bagi kemudahan pengguna. Contohnya secara purata, sebanyak lima trip tambahan dibuka setiap hari untuk berbagai destinasi pantai timur, namun tiket juga begitu cepat habis dijual,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di TBS mendapati rata-rata penumpang tiba jauh lebih awal dari masa berlepas dan tidak kisah menunggu lama di terminal bas, kerana tidak mahu tersangkut dalam kesesakan jalan raya yang mungkin menyebabkan mereka terlewat dan tertinggal bas.

Seorang penumpang, Zahari Hashim, 57, berkata, dia bersama isteri dan dua anaknya tidak kisah tiba seawal 9.45 pagi berbanding waktu bertolak 12.30 tengah hari kerana TBS merupakan tempat selesa.

“Memang sengaja sampai awal, hendak elakkan jalan sesak. Saya tidak kisah menunggu di sini kerana selesa dan sejuk (pendingin hawa). Cuma, kalau dapat ditambahkan lagi tempat duduk mungkin lagi baik,” katanya yang juga merupakan seorang orang kelainan upaya penglihatan.

Begitu juga dengan Mohd. Syaznir Mokhtar, 28, yang tiba seawal 9.30 pagi berbanding waktu berlepas 12.45 tengah hari bersama isteri dan anaknya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Katanya, biarpun dia mempunyai kenderaan, dia lebih selesa menaiki bas ekspres kerana merasakan pengangkutan awam itu lebih memberi kemudahan selain menjimatkan kos.

“Saya dan keluarga setiap tahun naik bas kerana lebih selesa dan tidak penat ketika menempuh perjalanan jauh sambil melayan anak-anak. Dari segi kos juga adalah lebih murah, bagi saya memang jimat banyak,” katanya yang akan bertolak ke kampungnya di Alor Setar.-UTUSAN ONLINE