Kesemua suspek yang berusia antara 16 hingga 36 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah di dua rumah yang dijadikan lokasi penagih ketum melepaskan gian. 

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Tarmizi Shaari berkata, dalam kedua-dua serbuan itu, pihaknya turut merampas air ketum bernilai RM320 yang dipercayai dijual.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bakap Baru dekat sini dan menahan tujuh lelaki.

“Pemeriksaan lanjut menemukan sembilan botol plastik berisi cecair air ketum yang dipercayai dijual setiap botol dengan harga RM15.

“Ujian air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah namun dua daripada suspek mempunyai rekod lampau kes memiliki dadah dan air ketum” katanya dalam sidang akhbar di IPD Batu Gajah di sini hari ini.

Menurut Ahmad Tarmizi, serbuan kedua membawa penahanan tujuh lelaki termasuk pelajar sekolah menengah di sebuah rumah di Kampung Air Mati dekat sini. - UTUSAN ONLINE