ZAININAH MOHD ZAIN
ZAININAH MOHD ZAIN

Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) Datuk, Dr. Zaininah Mohd. Zain berkata, kesemua mangsa terbabit dibenarkan keluar selepas keadaan mereka stabil.

“Tiga lagi pelajar masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Kebakaran dan sedang diberi rawatan sokongan manakala seorang lagi berada di ICU Pedriatik. Tahap lecur di tubuh mereka ialah pada 20 peratus.

“Para pelajar yang telah dikeluarkan akan diberi rawatan susulan bagi membantu mereka yang berada dalam keadaan trauma,” katanya ketika ditemui di lobi HKL di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut Zaininah memberitahu, mangsa yang berada di ICU tidak dibenarkan dilawat walaupun dalam kalangan ahli keluarga kerana bimbang jangkitan kuman.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha memberitahu, kebanyakan pusat tahfiz telah mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan kerajaan negeri.

Jelas beliau, hanya beberapa premis yang tidak menepati dan perlu diteliti semula aspek keselamatan bangunan mereka.

“Dalam garis panduan itu ada aspek keselamatan dan mesti diperiksa secara berkala serta menepati kehendak agensi lain seperti bomba.

“Bagi yang tidak mematuhi pula, kita akan meneliti serta memberi bantuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Othman turut mengucapkan terima kasih kepada media kerana memberi liputan baik serta kefahaman kepada keluarga mangsa. - UTUSAN ONLINE