Menurut Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan, pengurangan masa itu tidak relevan kerana tempoh pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Islam ketika ini tidak mencukupi untuk membina keperibadian jati diri murid.

‘‘Cadangan untuk mengurangkan masa bagi mata pelajaran ini dilihat sebagai langkah mundur ke belakang dan mampu menjejaskan kualiti penghayatan agama secara le­bih mendalam kepada anak-anak Melayu Islam.

“Sebaliknya kurikulum Pendidikan Islam sedia ada perlu diperkasakan di peringkat lebih awal dengan menekankan aspek amali berbanding teori. Mata pelajaran ini perlu diberi keutamaan kerana generasi hari ini terdedah dengan pelbagai masalah disiplin dan kelunturan akhlak,’’ katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Azizee berkata, penekanan pengajaran mata pelajaran Pendidikan Islam sudah termaktub dalam Ordinan Pelajaran 1952 yang menggariskan hak murid yang beragama Islam untuk mendapatkan pelajaran agama.

Katanya, perkara itu turut diperkukuhkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 yang mewajibkan setiap sekolah yang mempunyai bilangan murid seramai 15 orang wajib diajar pelajaran agama.

“iGuru mencadangkan supaya ada jawatankuasa khas untuk membuat semakan semula kurikulum Pendidikan Islam supaya mata pelajaran ini dapat membina kualiti murid yang akan mendorong mereka menguasai ilmu-ilmu di bidang lain seperti penguasaan bahasa, matematik dan sains,” ujarnya.