Pegawai APM Bagan Datuk, Leftenan Mohd Zaidi Ahmad berkata kejayaan menangkap ketiga-tiga ular seberat antara 20 hingga 35 kilogram (kg) setiap seekor itu antara lain mungkin disebabkan faktor cuaca yang sering hujan.

"Bila air sungai menenggelamkan sarang, ular-ular ini akan keluar dan menuju ke kawasan kering untuk perlindungan termasuklah mencari makanan senang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Zaidi berkata tangkapan pertama melibatkan ular sawa seberat 25kg di bahagian dapur sebuah rumah didiami seorang ibu tunggal di Parit 9, Sungai Sumun pada 10 pagi Sabtu lepas.

"Ketika itu, reptilia berkenaan sedang melingkar di atas tanah dan tiga anggota kami mengambil masa lima minit untuk menangkap ular sawa sepanjang empat meter itu," katanya.

Menurut Mohd Zaidi, tangkapan ular sawa kedua pada tengah malam Ahad lepas dibuat di reban ayam milik Ketua Kampung Sungai Balai Darat, Mohd Fauzi Arip, 53, manakala tangkapan ketiga dilakukan semalam melibatkan ular sawa seberat 35kg.

Kesemua ular sawa berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Hilir Perak. - BERNAMA