MOHAMED KHALED

Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Permodalan Darul Ta'zim (PDT) berjaya mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM750.739 juta bagi tahun kewangan 2013.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, JCorp mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM129 juta, manakala KPRJ dengan RM621 juta dan PDT meraih RM739,000.

Beliau berkata, daripada keuntungan selepas cukai berkenaan, kerajaan negeri menerima pembayaran dividen sebanyak RM8.54 juta daripada JCorp dan RM30 juta diberikan oleh KPRJ.

“Hingga kini, PDT masih belum memberi pulangan dividen kepada kerajaan negeri memandangkan badan berkenaan sedang melalui proses mengemas kini dan pemantapan operasi serta organisasi,” katanya menjawab soalan Dr. Sheikh Ibrahim Salleh (Pas-Sungai Abong) tentang pencapaian GLC Johor dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Selain GLC berkenaan, katanya, tiga syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) iaitu Yayasan

Pelajaran Johor Holdings (YPJH), Perbadanan Islam Johor Holdings (PIJH) dan J-Biotech Holdings Sdn. Bhd. turut mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM18.572 juta bagi tahun kewangan 2013.

Menurutnya, YPJH yang ditubuhkan di bawah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) mencatat keuntungan sebanyak RM15.7 juta, PIJH yang diwujudkan menerusi Perbadanan Islam Johor (PIJ) meraih keuntungan RM2.4 juta, manakala J-Biotech Holdings yang ditubuh di bawah Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) memperoleh untung sebanyak RM472,000.

“Menerusi keuntungan berkenaan, YPJH telah memberi pulangan kepada kerajaan negeri yang disalurkan menerusi YPJ sebanyak RM16.16 juta, manakala PIJH menetapkan pembayaran fee pengurusan dan dividen kepada PIJ sebanyak RM5 juta setahun bagi tujuan pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti bantuan pesakit dialisis, program pembangunan usahawan dan program belia.

“Sementara itu, J-Biotech Holdings pula membayar dividen kepada J-Biotech sebanyak RM300,000 dalam bentuk ‘in-kind’z, iaitu bagi pembayaran kos perkhidmatan dan aset,” katanya.