Datuk Tengku Kalsom Sultan Abu Bakar, Datuk Tengku Norazahan Sultan Abu Bakar dan Datuk Tengku Noor Ashikin Sultan Abu Bakar merupakan antara 13 pene­rima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah (SSAP) yang membawa gela­ran Datuk Seri.

Pemangku Raja Pahang, Teng­ku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyempurnakan istiadat pengurnia­an Darjah dan pingat di Balairong Seri, Istana Abu Bakar.

Selain adinda Sultan Pahang, turut menerima darjah SSAP ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki; Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji Plantation Berhad, Datuk Amran Mat Nor; Pengarah Eksekutif Kraken Interactive Sdn. Bhd., Datuk Raja Mohd. Firdaus Raja Zainal dan Pemilik serta Pengasas D'Herbs Holding Sdn. Bhd., Datuk Aliff ­Syukri Kamarzaman.

Tiga individu pula menerima Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera.

Penerima SIMP ialah Ketua Editor Buletin Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Rosihan Mohamed Ali; Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Pahang, Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid dan Pengarah Urusan Kong & Kong Development Sdn. Bhd., Datuk Kong Tiam Ming.

Seramai tiga individu dianuge­rahkan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) dan 33 individu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Tiga penerima DSAP ialah Pe­ngarah Kanan Seksyen Dana Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri, Syed Mohamed Koyakutty; Ketua dan Pakar Perunding Kanan (Obstetrik dan Ginekologi) Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Dr. Mohamad Farouk Abdullah dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Pahang, Prof. Dr. Mashitah Mohd. Yusoff.

Antara penerima DIMP ialah Komander Pangkalan Udara Labuan, Brigedier Jeneral Datuk Sardon Hassan; Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), M. Saedon Ab. Majid; Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Mohamed Radzuan Malek; Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Elektrik Jabatan Kerja Raya, Ir. Shuib Tabri dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Jenayah Sindiket) Ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Deputi Superintenden Saiful Azly Kamaruddin.

Penerima lain ialah Timbalan Pengarah Pengurusan Ibu pejabat PDRM Bukit Aman, Deputi Supe­rintenden Mohd. Roze Shaari; Timbalan Asisten Ketua Staf, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Markas Tentera Udara, Brigedier Jeneral Muhamad Norazlan Aris; Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri, Ishak Mohd. Yusoff dan Pengarah Urusan Vision Works (M) Sdn. Bhd., Afdlin Shauki Aksan.

Seramai 12 orang pula menerima Darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP), Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) (16 orang), Darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) (10 orang) dan Ahli Mahkota Pahang (AMP) (18 orang).

Sembilan orang menerima Pi­ngat Khidmat Cemerlang (PKC), 10 orang Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dan 28 orang menerima Pi­ngat Jasa Kebaktian (PJK).