Walaupun cadangan yang diutarakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik itu bagi membolehkan cawangan parti politik ditubuhkan di semua universiti awam namum, faktor perbezaan fahaman parti dibimbangi akan menyebabkan pelajar berpecah belah.

Muhammad Ammar Rafiq Ruslan
MUHAMMAD AMMAR RAFIQ RUSLAN

Menurut Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPKK), Muhammad Ammar Rafiq Ruslan, perpecahan akibat perbezaan fahaman politik sudah dapat dilihat di luar universiti melibatkan rakyat dari pelbagai latar belakang.

“Sikap berpuak-puak akibat perbezaan fahaman politik ini turut melibatkan golongan profesional yang dikatakan mempunyai kematangan dalam berpolitik. Jadi tidak perlu kita wujudkan cawangan parti politik ke dalam kampus kerana tindakan ini ha­nya memberi kesan buruk kepada pelajar.

“Ketaksuban kepada parti politik juga akan membuatkan pelajar hilang fokus kepada bidang akademik selain menimbulkan suasana tidak aman dalam kampus,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Ammar Rafiq berkata, cadangan Maszlee itu turut menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat khususnya pelajar kerana seolah-olah dilakukan tanpa mengambil kira pendapat pelbagai pihak.

Katanya, kerajaan perlu melihat kesan perbezaan fahaman politik dalam kalangan rakyat dengan lebih mendalam dan tidak mengikut acuan politik di luar negara bagi memastikan kesejahteraan masyarakat dapat dikekalkan.

Dalam nada yang sama, Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhamad Azam Supian berkata, Dr. Mahathir telah memberi pandangan yang jelas mengenai kebebasan bersuara dalam kalangan pelajar walaupun tanpa memerlukan parti politik di universiti.

Katanya, kebebasan berpolitik dalam kalangan pelajar boleh dilakukan di luar universiti bagi mengelakkan suasana tidak aman di kampus berlaku seperti provokasi melampau dan pergaduhan.

“Kita khuatir pihak universiti tidak mampu mengawal pelajar yang ghairah berpolitik sehingga mengancam keselamatan orang lain di kampus. Kajian menyeluruh dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak perlu dilakukan Kementerian Pendidikan sebelum cadangan menterinya direalisasikan,” katanya.