Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, terdapat banyak lagi kaedah dalam menyelesaikan masalah pinjaman PTPTN sekali gus tidak membebankan atau menyusahkan peminjam.

“Kita jangan buat keputusan tangkap muat sahaja dan buat keputusan mudah dalam isu PTPTN tanpa mengambil kira keadaan peminjam-peminjam PTPTN,” ujarnya mengulas cadangan tersebut yang dibawa dalam mesyuarat Kabinet nanti.

Bekaa Menteri Pengajian Tinggi dan bekas Menteri Besar itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Bukti Megah Sdn. Bhd. di Banafee Seri Alam, di sini malam tadi.

Yang turut hadir Ketua Pembangkang negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang juga Pengerusi UMNO negeri, Pesuruhjaya Pas negeri, Abdullah Husin dan Pengerusi Eksekutif Bina Megah Sdn Bhd., Datuk Abdul Halim Suleiman.

Pada 27 Jun tahun lalu, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan mengumumkan seramai 429,945 peminjam kini bebas dari disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan boleh ke luar negara.

Walau bagaimanapun, bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis itu dilaporkan berkata kelmarin, cadangan menguatkuasakan semula sekatan terhadap peminjam culas merupakan antara idea yang dikemukan pihak berkaitan hasil daripada sesi libat urus yang dijalankan.

Jelas Wan Saiful, beliau secara peribadi mengakui tidak selesa dengan cadangan untuk memperkenalkan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam tetapi perlu menghormati semua cadangan dan pandangan yang diterima mengenai mekanisme pembayaran PTPTN itu. - UTUSAN ONLINE