SALAHUDDIN Ayub
SALAHUDDIN Ayub menyerahkan watikah perlantikan kepada Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Mazlan Aliman dalam sebuah majlis di Putrajaya hari ini. - UTUSAN ONLINE/ SOFIAN BAHAROM

Beliau berkata, polisi Pakatan Harapan (PH) menetapkan larangan perlantikan jawatan politik melibatkan syarikat milik kerajaan (GLC) tetapi bukan membabitkan agensi-agensi kementerian.

"Polisi yang kita tetapkan di peringkat PH adalah melibatkan GLC. Itu betul-betul kita tidak izinkan bagi yang terlibat politik apatah lagi tokoh-tokoh terkenal.

"Tetapi di agensi terdapat ketetapan bahawa kita boleh melantik (orang politik) atas keupayaan serta merit yang perlu untuk disumbangkan kepada agensi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Salahuddin telah menyerahkan watikah perlantikan kepada Pengerusi FAMA, Ishak Ismail; Pengerusi LPP, Mazlan Aliman dan Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil.

Mazlan dan Muhammad Faiz ialah dari Parti Amanah Negara (Amanah).

Jelas Salahuddin, Mazlan walaupun merupakan tokoh politik, tetapi jasanya kepada golongan peneroka menerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) adalah besar.

Sementara itu, katanya, Muhammad Faiz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, dilihat berkebolehan dalam aspek urus tadbir untuk melonjakkan LKIM.

"Walaupun mereka dikenali sebagai orang politik, tetapi kita mengambil kira juga pengalaman, jasa, rekod perkhidmatan, keupayaan dan profesionalisme mereka dalam bidang masing-masing," katanya. - UTUSAN ONLINE