Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, jika harga lantai getah sekerap ditetapkan kepada RM4 sekilogram berdasarkan pengeluaran pada 2017, kerajaan dijangka memerlukan peruntukan tambahan berjumlah RM2.5 bilion setahun.

Teresa Kok
TERESA KOK

Menurutnya, beberapa faktor diambil kira kerajaan untuk tidak mempertimbangkan perkara berkenaan kerana jika harga getah asli dunia me­ngalami trend penurunan mendadak, maka sumber kewangan tinggi diperlukan bagi menyo­kongnya.

“Selain itu, ia menyediakan ruang kepada aktiviti spekulasi harga dalam kalangan para penjual getah dengan menekan harga ke paras rendah dan mengharapkan kerajaan menampung perbezaan antara harga pasaran dengan lantai.

“Ia juga membuka ruang kepada kegiatan penyeludupan getah dari luar memandangkan harga tempatan lebih tinggi berbanding antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Teresa mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim dalam Utusan Online yang memaklumkan peruntukan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sebanyak RM50 juta seperti diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2019 tidak memberi banyak manfaat kepada pekebun kecil.

Mengulas lanjut kenyataan tersebut, Teresa berkata, IPG diwujudkan bagi meringankan beban pendapatan pekebun kecil, sekali gus memberi galakan kepada mereka untuk menoreh sewaktu harga getah rendah di pasaran.

Katanya, insentif itu hampir sama dengan konsep harga lantai kerana perkara berkenaan diaktifkan sebaik sahaja purata bulanan Standard Getah Malaysia (SMR) 20 pada bulan sebelumnya kurang daripada RM5.50 sekilogram atau harga getah sekerap ladang di bawah RM2.20 sekilogram.

“Langkah ini membolehkan para pekebun kecil getah de­ngan pemilikan dua hektar dan produktiviti getah sekerap sebanyak 3,000 kilogram mampu menikmati pendapatan bulanan RM1,100," ujarnya.

Teresa memberitahu, kerajaan mahu memfokuskan kepada menambah baik kemudahan pengeluaran susu getah kerana harganya lebih tinggi berban­ding getah sekerap, sekali gus dapat membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil.