Itulah ungkapan anak kedua Allahyarham Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, yang turut mengalami masalah autisme, Mukhriz Anwar Riaz Yazmi ketika ditanya mengenai sambutan hari jadinya hari ini.

Sepatutnya Allahyarham me­rancang untuk menyambut Hari Bapa dan ulang tahun Mukhriz Anwar Riaz yang genap berusia 10 tahun hari ini namun beliau terkorban selepas pesawat Hawk 108 yang digunakan ketika latihan, terhempas di Chukai, Terengganu, Khamis lalu.

Balu Allahyarham, Noor Shafora Izwa Mohd. Hilmi, 39, memberitahu, suaminya sempat berjanji dengan Mukhriz untuk membeli hadiah apabila pulang bertugas dari Labuan.

“Sebelum kejadian, Mukhriz ada meragam sikit dan memberitahu daddy ada berjanji hendak membawanya ke kedai untuk membeli sesuatu sempena hari jadinya.

“Jadi, saya pujuk dan memberitahu akan beli pada hari jadinya nanti. Malangnya, hari ini hari jadi Mukhriz, tetapi daddynya sudah tiada,” katanya sebak ketika ditemui di kediaman keluarga Allahyarham Mejar Yazmi di Tiara Titiwangsa, di sini hari ini.

Khamis lalu, dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Allahyarham Yazmi dan Allahyarham Mejar Mohd. Hasri Zahari, 31, terbunuh selepas pesawat Hawk 108 yang digunakan ketika latihan terhempas dan kedua-duanya ditemui kira-kira pukul 2.30 petang di kawasan berhampiran Kampung Chukai, dekat Kemaman, Terengganu.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Mikhail Adam Riaz Yazmi, 11, memberitahu, kali terakhir dia berbual dengan ayahnya mengenai perkembangan sekolah ketika makan sahur pada hari kejadian.

“Pagi itu seperti kebiasaan, daddy yang mandi dan menyi­apkan kami adik-beradik sebelum ke tempat kerja sebab mommy akan keluar awal pagi untuk menguruskan tadikanya.

“Tetapi ketika bersalam, daddy sempat pesan kepada saya supaya jangan gaduh dengan mommy dan kena selalu tolong mommy,” katanya yang juga bercita-cita menjadi juruterbang seperti ayahnya,” katanya.