MAT NAIM RAMLI
MAT NAIM RAMLI 

Dengan kelajuan maksimum 120 kilometer sejam, cheetah adalah haiwan tergolong dalam keluarga kucing besar.

Jika di Afrika, penduduknya mungkin sudah biasa melihat aksi cheetah tetapi bagi penduduk di sebelah Asia, tentulah sukar untuk mendapat peluang itu.

Satu-satunya tempat yang mempamerkan haiwan ini adalah zoo.

Namun Zoo Negara tidak lagi mempamerkan cheetah setelah haiwan itu mati kali terakhir ia dijaga di situ, kira-kira 20 tahun yang lalu.

Sehinggalah pada Januari 2018, sepasang cheetah dewasa berusia lima dan empat tahun dibawa khas dari Afrika Selatan untuk dijaga dan dipamerkan di Zoo Negara.

Menurut Pengarah Zoologi dan Veterinar Zoo Negara, Dr. Mat Naim Ramli, Zoo Negara menerima pasangan cheetah itu hasil daripada program pertukaran haiwan yang diaturkan oleh pihak sebuah zoo di Vietnam.

Katanya, Zoo Negara menukarkan sepasang cimpanzi milik mereka dengan sepasang cheetah dari Johannesburg.

“Sebaik sahaja tiba di tanah air dan ditempatkan di Zoo Negara, cheetah betina yang diberi nama Titiyana melahirkan sepasang anak jantan dan betina dalam persekitaran zoo.

“Jadi, kita bertuah kerana telah mempunyai anak cheetah pertama yang lahir di Zoo Negara,” katanya kepada S2.

Mat Naim berkata, kira-kira 20 tahun lalu, Zoo Negara pernah memiliki haiwan cheetah untuk dipamerkan.

Setelah ia mati kerana faktor cuaca yang tidak sesuai dan usia yang tua, Zoo Negara tidak begitu yakin untuk mendapatkan cheetah yang lain.

“Kini, kita berasa yakin untuk menjaga haiwan ini semula kerana telah membuat persediaan rapi sebelum pasangan cheetah berkenaan tiba pada Januari lalu,” katanya.

Menurutnya, cheetah jantan induk yang diberi nama Tyson diasingkan daripada Titiyana dan dua ekor anak mereka yang diberi nama Bolt dan Pepsi.

Ini bagi memberi peluang kepada kedua-dua ekor anak cheetah itu menyusu sepenuhnya dengan ibu mereka sehingga berusia sekurang-kurangnya enam bulan.

Sementara itu, Penolong Penyelia Bahagian Karnivor Zoo Negara, Mohd. Effendi Radzuan, 39, berkata, cheetah di dalam jagaan mereka diberi makan sekali sehari iaitu dengan menjamu haiwan tersebut, dua hingga 2 1/2 kilogram ayam.

“Haiwan ini tidak boleh terlebih diberi makan kerana boleh menjejaskan keaktifannya. Jika terlebih makan, dikhuatiri akan menjadi malas,” katanya.

Tambahnya, tempat haiwan itu juga perlu sentiasa panas.

Ditanya mengenai pengalaman, Mohd. Effendi berkata, ketika mula-mula menerima haiwan itu, dia dan tiga lagi penjaga bahagian karnivor diselubungi bermacam-macam perasaan.

“Ketika mula-mula melihat haiwan ini, kami nampak ia agak agresif namun tidak sehingga menyerang kami. Cheetah ini sebenarnya tidak agresif seperti singa atau kucing besar yang lain,” katanya.

Katanya, untuk mengelak haiwan terbabit kebosanan ketika berada di dalam kandang pameran, penjaga bahagian itu menyediakan peralatan seperti permainan untuk anak-anak cheetah bermain.

Sejak dipamerkan di Zoo Negara, kandang cheetah sering mendapat perhatian pengunjung yang kagum melihat haiwan itu walaupun bukan berada di benua Afrika. Justeru, tidak perlulah kita ‘terbang’ ke Afrika untuk melihat cheetah, cukup sekadar singgah di Zoo Negara yang terletak di Ulu Kelang dalam daerah Gombak, Selangor.