Sebenarnya, setelah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam diselaraskan di semua negeri di seluruh negara pada 2003 tiada langsung keperluan tandatangan isteri.

Sebaliknya, suami terbabit perlu memohon di mahkamah tinggi syariah di negeri masing-masing.

Hanya hakim akan memutuskan sama ada pemohon layak atau tidak berpoligami setelah mendengar keterangan dan bantahan (jika ada) daripada semua pihak termasuk isteri pertama yang dipanggil menghadiri perbincangan.

Sehubungan itu, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menetapkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap suami yang memohon lebih daripada satu isteri.

Ketua Pendaftar JKSM, Mohamad Shakir Abdul Hamid berkata, Seksyen 23, Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (AUUKIWP) menetapkan tiada lelaki dibenarkan berkahwin lebih daripada satu kecuali dengan kebenaran mahkamah secara bertulis, membuat kontrak perkahwinan lain dengan perempuan lain atau perkahwinan yang dikontrakkan tanpa kebenaran sedemikian boleh didaftarkan dibawah akta berkenaan.

“Dengan syarat, mahkamah boleh ditunjukkan bahawa perkahwinan sedemikian adalah sah mengikut hukum syarak dan didaftarkan tertakluk kepada Seksyen 123.

“Dalam Subseksyen (1) terpakai bagi perkahwinan dalam Wilayah Persekutuan iaitu seseorang lelaki yang bermastautin dalam atau luar Wilayah Persekutuan dan seorang lelaki yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Malah katanya, permohonan untuk kebenaran berkahwin hendaklah dikemukakan kepada mahkamah mengikut cara ditetapkan dan disertai surat akuan menyatakan alasan mengapa perkahwinan dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu termasuk pendapatan pemohon pada masa itu.

Tambahnya, pemohon juga perlu menyatakan butiran komitmen dan kewajipan serta tanggungan kewangan patut ditentukan, bilangan tanggungan isteri pertama termasuk bakal isteri kedua yang akan menjadi tanggungannya.

“Apabila menerima permohonan tersebut, mahkamah hendaklah memanggil pemohon dan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada supaya hadir apabila permohonan itu didengar dan hendaklah dilakukan dalam mahkamah tertutup,” katanya.

Sementara itu, katanya, turut dinyatakan bagi Permohonan Kebenaran Berpoligami untuk anggota polis dan tentera menurut arahan Amalan Mahkamah Syariah No.2 2007.

Menurutnya, hakim yang mendengar permohonan kebenaran berpoligami yang difailkan oleh anggota polis dan tentera hendaklah memastikan bahawa surat kebenaran daripada Pegawai Pemerintah atau Ketua Polis Negara disertakan sebelum apa-apa perintah diputuskan.