Menurut Pengerusi Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia (PPFPM), Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir, peningkatan sebanyak 15,000 sudah memadai kerana ia turut menambah jumlah kemasukan pelajar bukan bumiputera.

Beliau berkata, peningkatan 60 peratus itu adalah relatif bagi pelajar bukan bumiputera iaitu seramai 4,000 orang berbanding 2,500 sebelum ini.

“Jumlah tawaran kemasukan bagi pelajar bukan bumiputera meningkat sebanyak 1,500 orang dan ia merupakan peningkatan drastik yang perlu diterima dengan baik.

“Justeru, peningkatan jumlah itu wajar dimanfaatkan bagi membantu masyarakat bukan bumiputera yang terdiri daripada golongan sederhana dan miskin,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Dalam pada itu, Mohammad Alinor turut menyarankan supaya kementerian dan pihak berkaitan supaya fokus kepada isu yang lebih penting berbanding kuota.

Katanya, sistem pengajaran dan pembelajaran dalam matrikulasi dan juga universiti perlu disemak semula kerana bilangan pelajar menceburi bidang sains dan matematik kini berkurangan.

“Isu kekurangan pelajar dalam bidang berkenaan berkurang sejak di sekolah lagi. Lebih membimbangkan adalah jumlah pelajar yang mengambil aliran sains dan matematik di sekolah kini tinggal 18 peratus sahaja.

“Jadi penambahan kuota sebanyak 40,000 pelajar diharapkan meningkatkan lagi minat pelajar untuk menceburi bidang sains dan matematik terutama di peringkat universiti,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE