Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution berkata, ini kerana Jakim mempunyai peranan cukup luas terutamanya menterjemahkan cara hidup Islam kepada masyarakat dan dunia luar dan bukan terhad kepada bidang tertentu sahaja.

Katanya, pihak yang membangkitkan isu kononnya Jakim akan dimansuhkan seharusnya tidak perlu berfikiran sempit.

“Mereka seolah-olah cuba untuk memberi pemahaman kononnya kerajaan Pakatan Harapan mahu memansuhkan Jakim sedangkan kerajaan mahu tambah baik.

“Saya ingin maklumkan esok ada berlangsung mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang akan bincang hala tuju kerajaan baharu, jika berkesempatan, isu Jakim akan turut dibincangkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pakaian dan duit raya kepada 100 kanak-kanak kurang bernasib baik anjuran Ikatan Guru-guru dan Penyelia KAFA negeri di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE