Perdana Menteri berkata, kerajaan yang baharu ini berjuang bukan kerana pangkat tetapi bagi mendirikan sebuah kerajaan yang sanggup berkorban demi agama, bangsa dan negara.

“Kita tidak akan melaksanakan apa-apa yang bertentangan de­ngan Islam. Kalau kita berpegang kepada ajaran Islam sebenar, ia akan menentukan pentadbiran yang berlandaskan undang-undang serta mengutamakan rak­yat.

“Kita juga tidak akan mendiskriminasi agama-agama lain ke­rana Islam mengajar untuk berpegang kepada keadilan. Ini disebut dalam al-Quran dan ini pendirian kita, insya-Allah,” katanya ketika berucap dalam Maj­lis Iftar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sini hari ini.

Yang hadir isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Presiden PPBM merangkap Menteri Dalam Ne­geri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir merangkap Menteri Besar Kedah; Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Besar Johor, Osman Sapian serta Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr. Rais Yatim antara yang turut sama.

Pada majlis itu, Dr. Mahathir turut menerima sumbangan ke­seluruhan RM110,000 daripada tiga syarikat dan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk Tabung Harapan Malaysia.

Dr. Mahathir yang juga Pe­ngerusi PPBM menjelaskan, kerajaan pimpinannya telah mengenal pasti kaedah untuk mengurangkan hutang negara dalam usaha tidak membebankan kehidupan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan sanggup berkorban dan mengurangkan perbelanjaan negara ke arah itu.

“Kita telah mendapat soko­ngan daripada rakyat, oleh itu, kita sekarang kena menentukan janji kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu telah membuktikan kepada dunia bahawa parti tersebut mampu mendirikan kerajaan berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan.