Video berdurasi 30 saat yang memaparkan sedutan awal filem itu telah tular di internet sebelum tarikh tayangan.

Meskipun begitu, sejak lima hari ditayangkan filem arahan Syafiq Yusof itu berjaya mengutip RM5 juta yang mana sekali gus menduduki carta nombor satu filem Malaysia dan luar negara yang ditayangkan pada hari yang sama.

Menurut Syafiq, dia berterima kasih kepada pihak Astro Shaw yang bertungkus-lumus menyekat video yang ‘bocor’ itu di Internet.

“Terima kasih pada pihak Astro Shaw selaku salah satu syarikat produksi yang berusaha mema­dam dan menyekat video ‘bocor’ ALF2 di internet.

“Memang pihak kami dah selidik, kalau kita cari di internet, video terbabit memang sudah tiada dalam pencarian,” katanya ketika dihubu­ngi di sini hari ini.

Tambah Syafiq, dia bersyukur dengan sokongan peminat ALF2 yang merupakan sekuel kedua daripada ALF yang ditayangkan tiga tahun lalu.

“Alhamdullilah masih ada yang sokong filem ini. Ia baru seminggu ditayangkan dan kami masih belum dapat pastikan jika tarikh tayangan akan ditambah lebih lama. Insyallah jika masih diberi peluang dan kesempatan mungkin akan ada sambungan filem ini. Tetapi masih terlalu awal sebab belum ada perancangan lagi,” jelasnya.

Filem aksi komedi itu membariskan pelakon antaranya Zizan Razak, Tania Hudson dan Syamsul Yusof.