Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, polisi 'food truck' diseragamkan dan pemilik perlu mengikut garis panduan yang dikeluarkan.

"Tindakan membatalkan lesen atau mengeluarkan saman adalah perlu agar pengusaha atau pemilik kenderaan perniagaan makanan mematuhi polisi yang telah ditetapkan.

"Antara polisi yang perlu diikuti termasuk garis panduan Jabatan Bomba dan Penyelamat; Jabatan Pengangkutan Jalan dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM)," katanya dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Pasukan Bomba Sukarela Marin di penempatan semula nelayan di Kampung Pak Mayong, Tok Bali, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Jamaludin Othman dan Pengarah Bomba negeri, Nazili Mahmood.

Zuraida berkata, pengusaha juga perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan terutama dalam pengurusan dan pengendalikan sampah.

Menurutnya, jika polisi itu tidak dipatuhi pengusaha boleh dikenakan denda atau lesen akan ditarik balik oleh PBT mengikut undang-undang kecil sedia ada. - UTUSAN ONLINE