MAHDZIR KHALID
MAHDZIR KHALID

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya tidak menyekat mana-mana guru yang mahu memberi sokongan kepada rakan mereka itu yang dianggap sebagai hak individu.

“Tiada masalah untuk guru-guru ini untuk memberi sokongan kepada rakan mereka, ini bukan soal (status) mereka sebagai guru tetapi secara universal, kemanusiaan. Ini soal emosi, kalau jadi pada rakan kita, sudah tentu kita mahu memberi sokongan.

“Pada saya, isu kehadiran di mahkamah itu adalah hak peri­badi masing-masing tak bersangkut apa-apa. Cuma mereka hanya memberi sokongan kepada guru yang dihadapkan di mahkamah,” katanya selepas Kempen Ke­sedaran Kesihatan Wanita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta orang ramai terutama ahlinya supaya memberikan sokongan kepada Cikgu Azizan dengan hadir ke mahkamah dan menyokong melalui media sosial dengan tanda pagar PrayForCikguAzizan sebelum menjadi tular di laman sosial.

Mengikut laman web www.pendidik2u.my, Cikgu Azizan ditahan selepas dipercayai mendenda muridnya kerana kesalahan menghidu gam dan mempeng­aruhi rakan, buli, memukul murid serta ponteng sekolah sebelum sebutan kes di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan pada 31 Oktober lalu.

Difahamkan, Cikgu Azizan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-dua­nya sekali jika disabitkan dengan kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir memberitahu, pihaknya menyerahkan kepada polis dan Suruhanjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang guru yang didakwa menghina umat Islam di laman Facebook.

Beliau turut menyifatkan tindakan guru sekolah rendah di Miri, Sarawak itu sebagai keterlaluan ketika memberi komen berkaitan isu Islam dan Baitulmuqaddis pada Sabtu lalu.