S. Subramaniam

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, penjualan sebarang jenis dadah yang disenaraikan sebagai bahan terkawal dibawah Akta Racun 1952 adalah bertentangan dengan etika perubatan dan peruntukan undang-undang sedia ada.

Malah, tegas beliau, penggunaan beberapa jenis dadah seperti morfin bagi tujuan perubatan ha­nya layak dilakukan oleh pengamal perubatan bertauliah sahaja.

“Semua ubat yang disenaraikan (dadah) dibawah akta tersebut memerlukan preskripsi daripada pengamal perubatan bertauliah sebelum diberikan kepada mana-mana pesakit.

“Misalnya, morfin juga merupakan ubat larangan namun kami menggunakannya di hospital sebagai ubat penahan sakit bagi sesete­ngah kes khususnya pesakit dalam keadaan kritikal dan yang telah menjalani pembedahan besar,” katanya dalam sidang akhbar sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, sini hari ini.

Beliau mengulas kes pasangan suami isteri ditahan bersama seorang pembantu selepas dipercayai menjalankan aktiviti rawatan alternatif menggunakan ganja di sebuah rumah di Kampung Delek, Klang, Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Kang Chez Chiang berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak lima hingga enam bulan lalu.

Kata beliau, suspek utama ber­usia 58 tahun menggelarkan diri­nya ‘doktor ganja’ dan merupakan pesara tentera.

Terdahulu, Subramaniam menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 dan loket emas kepada atlet sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA), Agilan Thani yang mengambil bahagian dalam kejohanan One Championship: Dynasty of Heroes di Singapura pada 27 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Subramaniam juga berkata, pengamal perubatan bertauliah tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan dadah seperti morfin kepada mana-mana pesakit tanpa keperluan perubatan walaupun semua hospital dibenarkan menggunakan bahan terkawal itu.

“Malah, sebarang penggunaannya (morfin) termasuk dos harus dicatat secara terperinci dalam rekod hospital,” katanya.