Menceritakan pengalaman itu, ketua kumpulan petugas Malaysia, Sanusi Haron berkata, mereka tidak boleh leka ketika bertugas kerana tindakan berkenaan boleh menyebabkan ibadah mabit di Muzdalifah terjejas.

Katanya, sehubungan itu, mereka perlu menyelesaikan pergerakan 370,000 jemaah haji dalam tempoh lima jam tanpa sebarang masalah.

"Dalam tempoh itu, kami perlu membawa para jemaah mengikut jadual ditetapkan oleh pihak Metro Mekah.

"Jika lewat, ia boleh menjejaskan pergerakkan jemaah haji sekali gus berkemungkinan menyebabkan waktu ketibaan mereka di destinasi seterusnya akan lambat," ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Menurut Sanusi lagi, mereka hendaklah mengawasi pergerakkan keluar masuk jemaah haji sepanjang 24 jam.

"Alhamdulillah sepanjang empat musim haji diberi tanggungjawab ini, saya tidak pernah berhadapan masalah kelewatan rel di Tanah Suci," katanya.

Beliau merupakan antara 33 kakitangan Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) yang diberi tanggungjawab membantu operasi Metro Mekah pada musim haji baru-baru ini.

Kepulangan mereka ke tanah air disambut Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd. Noor. - UTUSAN ONLINE