Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, berikutan keputusan kerajaan terdahulu mengurangkan kadar saman daripada RM300 kepada RM150, kerajaan terikat untuk menyerahkan sepenuhnya hasil kutipan kepada dua syarikat pengendali sistem berkenaan, ATES Sdn. Bhd. (ATES) dan Beta Tegap Sdn. Bhd. (Beta Tegap).

Katanya, ini kerana berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pada tahun 2011, syarikat-syarikat berkenaan berhak mendapat dua tier bayaran iaitu RM16 untuk setiap saman dikeluarkan dan tier kedua adalah 50 peratus daripada nilai sebenar saman RM300.

“Pada tahun 2016, kerajaan terdahulu telah membuat keputusan untuk mengurangkan kadar saman ini daripada RM300 kepada RM150, tetapi bayaran kepada syarikat-syarikat pengendali masih lagi RM150.

“Kalau kita kutip lagi, apa yang kerajaan kutip itu kerajaan tidak dapat, kerajaan kena bayar kepada syarikat ATES dan Beta Tegap kerana itu dalam perjanjian,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kelmarin, Anthony Loke mengumumkan kerajaan tidak menyambung kontrak syarikat-syarikat pengendali AES yang tamat hujung bulan ini dan semua saman tertunggak AES yang dikeluarkan sejak pada 2012 dibatalkan melibatkan 3.1 juta saman dengan jumlah bayaran kira-kira RM435 juta.

Menurutnya, selain perjanjian yang berat sebelah antara kerajaan dahulu dan syarikat-syarikat pengendali AES, pihaknya juga memutuskan untuk tidak menyambung kontrak syarikat pengendali kerana tidak bersetuju penswastaan terhadap tindakan penguatkuasaan.

Mengenai kritikan oleh pemimpin MCA terutamanya Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berhubung keputusan membatalkan saman tersebut, Anthony Loke berkata, golongan yang patut dikritik adalah pihak yang membuat keputusan dan menandatangani perjanjian AES berkenaan yang disifatkan berat sebelah.

Dalam pada itu, kata beliau, kementeriannya akan meng­adakan perbincangan dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang diarahkan oleh kerajaan terdahulu untuk membayar RM555 juta kepada syarikat ATES dan Beta Tegap bagi mengambil alih pelaksanaan AES.

“Kerajaan akan membayar kembali RM555 juta kepada LTAT secara berperingkat-peringkat dan rundingan akan dijalankan,” katanya yang memberitahu nilai RM555 juta dibayar oleh LTAT itu adalah berdasarkan unjuran pendapatan kedua-dua syarikat terbabit dan kontrak pemasangan 1,000 kamera.

Katanya, dengan jumlah kutipan saman sebanyak RM129 juta bagi tempoh dari 2012 sehingga 2018, segala pelaburan dilakukan syarikat terbabit sepatutnya telah diterima kembali dengan keuntungan besar kerana kos pemasangan 47 kamera yang telah dilakukan adalah sekitar RM10 juta sekiranya mengambil kira kos sebuah kamera adalah RM250,000.

Sementara itu, Anthony Loke memberitahu, bermula 1 September ini, penguatkuasaan AES akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Pe­ngangkutan Jalan dengan kadar saman yang bakal ditentukan dan sebarang pemasangan kamera perlu melalui proses ketat yang mana lokasinya harus ditentukan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Beliau dalam pada itu mengingatkan pengguna jalan raya bahawa walaupun AES hanya akan kembali dikuatkuasakan pada bulan hadapan, kesalahan dilakukan mereka ter­utamanya memandu dengan melebihi had laju dibenarkan, tetap akan dikenakan tindakan oleh pihak polis.