Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan mungkin tidak akan membina balai bomba walaupun kategori rendah di Pulau Banggi kerana kawasan tersebut mempunyai pembangunan yang ingin dilaksanakan.

Tambah beliau, perkampungan atas air di Pulau Banggi itu juga tidak mempunyai kelayakan untuk memiliki dan membina balai bomba.

“Mungkin tidak. Bukan ‘ad hoc’. Sekali Banggi terbakar, letak satu bomba. Sekali rumah kau terbakar, macam mana,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Rumah Transit dan Rumah Mampu Milik di sini hari ini.

Perjanjian tersebut melibatkan kerajaan yang diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek dengan dua syarikat pembinaan iaitu Kery Sdn. Bhd. dan Tisy Sdn. Bhd.

Yang turut hadir, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, N. Jayaselan.

Walau bagaimanapun, Zuraida yang juga Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) berkata, Pulau Banggi mempunyai beberapa sukarelawan bomba yang bertindak sebagai badan pertama yang bertindak.

“Kita faham Sabah ini mempunyai kawasan yang besar dengan rumah panjang dan sebagainya jadi kita menggalakkan mereka supaya menubuhkan sukarelawan bomba yang dilatih untuk menjalankan operasi.

“Selalunya kes kebakaran begini, mangsa-mangsa akan dibawah kerajaan negeri untuk menguruskan mereka,” katanya.

Pada 13 Januari lalu, sebanyak 303 mangsa daripada 81 keluarga kehilangan kediaman dan harta benda masing-masing selepas gagal diselamatkan akibat api yang marak di perkampungan atas air Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Sabah. - UTUSAN ONLINE