Timbalan Pengarah Direktorat Jenayah Ekonomi Khas, Pesuruhjaya Tinggi Polis Indonesia, Daniel Silitingo berkata, tiada sebarang wang tunai yang ditemukan sepanjang proses pencarian bukti di dalam kapal mewah tersebut.

“Proses pencarian turut disertai oleh pihak ketiga. Sekiranya terdapat wang sebanyak itu yang dijumpai, pasti mereka tahu.

“Apa yang dijumpai hanya­lah senarai anak kapal dan penumpang,” katanya menerusi laporan portal JawaPos.com, semalam.

Berita penemuan wang tunai tersebut tular dalam media sosial selepas pihak berkuasa Indonesia merampas kapal tersebut minggu lalu dan isu itu dipolitikkan oleh pihak pembangkang yang mengaitkannya dengan dana yang diseleweng daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut laporan yang sama, individu yang bertanggungjawab menularkan berita palsu tersebut merupakan pemilik akaun Facebook dengan nama Miyoyo yang turut menyebarkan imej sejumlah wang dipercayai berjumlah RM1 bilion yang kononnya ditemukan di dalam kapal mewah tersebut.

Mengulas lanjut, Daniel turut menafikan pihaknya ada me­ngaitkan rampasan tersebut dengan mana-mana individu atau institusi di Malaysia.

Katanya, rampasan kapal tersebut dilakukan dengan niat murni berdasarkan falsafah melawan jenayah dan berkhidmat untuk rakyat.

“Kami tidak pernah menyebut mana-mana nama yang mempunyai kaitan dengan Malaysia,” katanya.