Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Seri Mohamad Supardi Md. Noor berkata, biarpun begitu pihaknya tidak akan mengambil tindakan keras terhadap peminjam terbabit.

Beliau berkata, kesemua peminjam yang terlibat untuk berbincang bagi mencari jalan terbaik membantu mereka kembali menjalankan perniagaan.

"Saya mencadangkan kepada pihak pengurusan supaya memanggil balik peminjam yang dalam akaun mereka sudah enam bulan tertunggak daripada membuat pembayaran, kita berunding balik bagaimana kita boleh bantu uuntuk pulihkan mereka semula.

"Tetapi jika niat mereka memang tidak mahu bayar hutang, ambil duit dan lari, kita tidak akan berkompromi, kita akan heret mereka ke mahkamah kerana jumlah hutang yang tidak dibayar terlalu tinggi hampir mencecah RM600 juta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Graduasi Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) daerah Tanah Merah 2018 di Institut Kemahiran Belia Negara (İKBN) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Penolong Pengarah Kewangan Kemas Kelantan, Norhisham Mohamad dan seramai 289 murid Tabika Kemas daerah ini menerima sijil sempena majlis tersebut.

Mohamad Supardi yang juga Ketua Cabang PKR Tanah Merah berkata, langkah tersebut diambil seleras dengan fungsi TEKUN Nasional yang baharu.

"Saya tidak mahu lagi TEKUN berfungsi sebagai pemberi wang, TEKUN akan berfungsi sebagai pembela usahawan. Kita akan laksana pelan pemulihan untuk senergikan usahawan yang kurang berjaya dengan yang berjaya sebelum ini.

"Kita perlu kutip kembali pinjaman yang diberikan kepada usahawan supaya orang lain juga dapat menggunakan kemudahan tersebut dan satu perkara harus diingat dalam dunia hari ini tiada wang percuma," katanya. - UTUSAN ONLINE