Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, setiap tindakan dibuat adalah atas dasar profesional serta mengikut asas dan keterangan yang kukuh sekali gus menegaskan pihaknya tidak mempunyai masa untuk berpolitik dalam isu menegakkan integriti.

Katanya, penahanan ke atas Setiausaha Politik, Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa semalam bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan me­nerima ra­suah berjumlah RM20,000 yang pernah dilakukan kepada parti pemerintah misalnya, Exco kerajaan negeri Johor, pegawai kanan kerajaan negeri Melaka dan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

“Kita tidak memilih, mereka yang terlibat kenalah tanggung jadi apabila kita ambil tindakan dan baru di peringkat siasatan tiba-tiba kata tidak bersalah dan kata macam-macam.

“Saya nak menegaskan di sini tolonglah bagi peluang kepada SPRM untuk siasat, kalau siasatan telah selesai, kita tengoklah dia bersalah atau tidak. Kalau ada keterangan mencukupi kita akan mencadangkan pertuduhan dan jika sebaliknya, kita mencadangkan tidak ada tindakan seterus­nya,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Karnival ‘Kemah Keming Tolak Rasuoh’ yang diras­mikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Pentas Budaya, Pantai Teluk Ke­tapang di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesio­nalisme) SPRM, Datuk Seri Mohd. Jamidan Abdullah; Timbalan Ke­tua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil dan Pengarah SPRM negeri, Mohd. Zaki Hassan.

Program itu merupakan antara pengisian dalam Konvoi Kembara Jelajah Antirasuah 2017 (Kejar 17) sejauh 2,385 kilometer SPRM di negeri ini sempena Sambutan Jubli Emas.

Di Kuala Lumpur tiga kakitangan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa iaitu Setiausaha Politik, pembantu peribadi dan kerani­nya direman selama empat hari bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman di Ibu Pejabat Polis Da­erah (IPD) Dang Wangi selepas dipohon oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tiba di IPD Dang Wangi pada pukul 10.05 pagi dengan memakai kemeja kelabu dan berseluar gelap serta tangan bergari manakala dua lagi suspek dikatakan sudah berada di dalam IPD berkenaan lebih awal.

Ketiga-tiga suspek kemudiannya dilihat keluar dari IPD tersebut kira-kira pukul 12.08 tengah hari dengan diiringi enam pegawai SPRM untuk dibawa ke Lokap Jinjang dan Dang Wangi.

Sementara itu, Sivarasa ketika ditemui di pekarangan IPD tersebut berkata, penahanan tiga kakitangannya oleh SPRM adalah tidak berasas.