Harussani Zakaria

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menafikan dakwaan itu dan menjelaskan bahawa ramai orang tidak boleh membezakan adab dan juga adat.

Kata Harussani, khurafat merupakan perkara atau amalan yang bertentangan dengan syarak, sebaliknya istiadat Pertabalan Sultan Perak merupakan adat memperingati sejarah.

“Istiadat memijak Beting Beras Basah bertujuan memperingati sejarah Sultan Perak yang pertama. Kapal baginda tersekat di Beting Beras Basah, baginda turun dan berpijak di situ, kemudian air naik sehingga membolehkan kapal masuk ke Sungai Perak, itu yang dikenang.

“Istiadat Siram Tabal menggunakan air dari tujuh kuala sungai di Perak juga tiada unsur khurafat. Dulu tiada pembahagian daerah, jadi tujuh sungai dijadikan sebagai sempadan daerah di Perak.

“Siram Tabal atau mandi menggunakan air dari tujuh kuala sungai ini sebagai simbolik kuasa sultan ke atas tujuh daerah di negeri ini. Tiada khurafat,’’ katanya ketika ditemui selepas menunaikan sembahyang Jumaat bersama-sama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Mengulas tentang istiadat Tabal Pusaka pula, Harussani memberitahu, istiadat itu adalah semata-mata untuk menyerahkan hak-hak raja terdahulu yang dianggap pusaka kepada sultan yang ditabalkan.

Katanya, penyerahan itu dibuat dengan cara dipalu nobat sebagai adat kebesaran raja dan direnjis dengan air mawar serta tepung tawar, sebelum diserahkan kepada sultan.

“Tiada mantera. Tiada Tabal Jin, itu dulu, sudah habis, saya tidak benarkan Tabal Jin, sebab raja itu manusia, bukan jin.

“Itu yang kita buat, tetapi orang kita tidak faham apa itu adat, apa itu adab. Kita menyembah raja itu adab orang Melayu sejak dulu, menghormati raja tidak salah, hormat manusia tidak salah, asalkan jangan sujud dan rukuk depan raja, itu haram,’’ katanya.

Menyentuh tentang istiadat menziarah makam-makam sultan terdahulu, Harussani berkata, menziarahi kubur sememangnya merupakan sunnah nabi yang dituntut.

“Ada 34 makam sultan-sultan terdahulu. Ziarah kubur atau makam ini untuk memperingati keluarga diraja dan semasa ziarah kita buat tahlil, itu sahaja,’’ katanya.

Dalam pada itu, menurut Harussani, pihaknya bermesyuarat terlebih dahulu untuk membincangkan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa istiadat Pertabalan Sultan Perak.

“Contohnya seperti ketika Toh Seri Nara Diraja serahkan pusaka Mestika Embun dan satu pesanan supaya seorang raja harus bersifat adil terhadap rakyat yang dilakukan dengan cara beradat dan beradab.

“Orang kita tidak tahu apa, sejarah Melayu pun sudah hilang, di sekolah tiada sejarah Raja Melayu,’’ kata beliau.