"Tiada negara yang mampu memerangi keganasan secara bersendirian. Sekiranya kita lebih bersatu, maka akan menjadi lebih berkesan dalam memerangi ancaman yang dahsyat dan tidak berperikemanusiaan ini.


"Tiada siapa pun dalam kalangan kita yang selamat daripadanya. Tetapi, andainya kita bersatu, kita akan lebih selamat," kata perdana menteri ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Penutupan Persidangan Pencegahan Keganasan di International Conference Centre (ICC) Sydney di sini pada Sabtu.


Persidangan itu adalah antara acara utama yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia selama dua hari bermula Sabtu.


Persidangan berkenaan menonjolkan tentang pentingnya kerjasama serantau bagi menangani ancaman keganasan dan gerakan pelampau yang dihadapi bersama.


Najib ialah satu-satunya pemimpin ASEAN yang dijemput memberi ucapan pada majlis penutupan persidangan itu. Seorang pemimpin lagi ialah Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull.


Najib berkata rantau ini bukan sahaja berdepan dengan risiko menerima akibat buruk daripada aktiviti jenayah rentas sempadan, tetapi juga banyak isu lain, termasuk keganasan dan pergerakan manusia yang tidak menghormati peraturan berkaitan sempadan.


"Lebih erat kita bekerjasama berhubung isu ini, maka kita akan lebih berjaya. Sebagai contoh, saya ingin sebut tentang Redback Operation yang diadakan setiap tahun antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Pengawal Sempadan Australia serta inisiatif Rondaan Selat Melaka, yang menggandingkan Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.


"Mekanisme serupa juga telah diwujudkan di laluan air strategik lain seperti di Laut Sulu, di mana pihak berkuasa Malaysia, Indonesia dan Filipina bekerjasama rapat untuk mengekang aktiviti menculik dan pelanunan di wilayah perairan yang luas itu," katanya.


Ketika berkongsi pengalaman Malaysia dalam memerangi keganasan, Najib berkata Malaysia mempunyai senarai panjang serta rekod yang konsisten dalam menghadapi cabaran berkaitan keganasan dan keganasan pelampau. - BERNAMA