Hasrat sama pernah disuarakan Dr. Mahathir dan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian pada awal Julai lalu, namun menerima reaksi negatif daripada Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan yang bertegas mahu Malaysia menghormati terma-terma yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Air Sungai Johor 1962.

Dalam perjanjian tersebut, Singa­pura mempunyai hak untuk mendapatkan 250 juta gelen air sehari dari Sungai Johor dengan bayaran 3 sen untuk setiap 1,000 gelen manakala Johor akan membeli air terawat dari Singapura pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Lebih malang lagi, perjanjian tersebut turut memperuntukkan peluang untuk membuat semakan harga selepas 25 tahun, namun peluang itu dilepaskan kerajaan negeri Johor pada 1987.

Sehubungan itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berpendapat, terdapat asas pada permintaan Dr. Mahathir untuk menaikkan harga air kepada Singapura.

Hal demikian ini kerana, me­nurut beliau, walaupun terikat dengan perjanjian, tidak ada sesiapa di dunia ini yang merasakan wajar untuk menetapkan harga bagi 1,000 gelen air hanya pada kadar 3 sen.

Tambahan lagi, beliau berpandangan, adalah tidak adil bagi Malaysia yang sehingga kini merupakan jiran yang baik bagi Singapura untuk menanggung kerugian atas jual beli air yang berat sebelah apabila mengikut perkiraan 2001, Singapura mampu meraih keuntungan sehingga RM662.5 juta daripada air mentah Malaysia.

Kata beliau, nilai keuntu­ngan itu kini mungkin sudah meningkat kepada lima kali ganda.

“Selama ini pun Malaysia merupakan jiran yang baik dan tidak pernah menyekat bekalan air ke Singapura melalui dua loji bekalan air di Kota Tinggi dan Linggiu. Dengan ledakan pembangunan yang pesat di Johor, perlu diingatkan Johor juga bakal mengalami defisit bekalan air, namun kita tidak pernah mengabaikan tanggungjawab membekalkan air ke Singapura,” katanya.

Sementara itu, profesor di Ja­batan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Zaid Ahmad berkata, kerajaan perlu mengambil langkah perbincangan dan perundingan dua hala untuk memastikan keputusan terbaik berkenaan isu berkenaan dapat dicapai.

Menurut beliau, sebarang ke­putusan bersifat sehala dalam isu itu hanya akan mengeruhkan hubungan dan mewujudkan keadaan tidak selesa antara ke­dua-dua buah negara.

“Hubungan antara Malaysia dengan Singapura ini tidak hanya melibatkan pembekalan air, ba­nyak lagi faktor yang terlibat se­perti keselamatan, ekonomi dan sebagainya, maka faktor-faktor ini juga perlu diambil kira dalam pembuatan keputusan berkenaan isu ini,” katanya.