Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, Mara tidak harus dipolitikkan dan menjadi sebarang isu kerana penubuhannya adalah mengikut Akta Parlimen sebagai badan berkanun serta berautonomi dan tidak ada pihak boleh mengubahnya.

“Jadi mana-mana pihak tidak berhak memberikan sebarang ‘wajah baru’, termasuk hasil lawatan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa ke Mara baru-baru ini.

“Beliau juga wajar memahami matlamat dan tujuan Mara dan ia tidak perlu dipolitikkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan rasmi ke Ibu pejabat Mara di sini hari ini.

Yang turut hadir, timbalan beliau, Dr. Mohd. Hatta Ramli, Ketua Setiausaha Kementerian, Wan Suraya Mohd. Radzi dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Manaf.

Mohd. Redzuan berkata, hala tuju Mara memang jelas untuk pembangunan bumiputera.

“Cuma kalau kita tidak menguruskan hala tuju Mara dengan betul, kita kena betulkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam menghampiri 100 hari pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), status atau kedudukan Mara akan ditentukan sama ada di bawah tanggungjawab Kementerian beliau atau Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Kurang 20 hari dari sekarang, status ini akan diputuskan oleh Perdana Menteri, tidak perlu dipolitikkan, hala tuju Mara memang jelas untuk pembangunan bumiputera. - UTUSAN ONLINE