Kebimbangan di kawasan tersebut juga dikatakan semakin memuncak apabila pihak berkuasa negara itu mengeluarkan amaran serangan pengganas ekoran ulang tahun tragedi Takbai yang mengorbankan puluhan rakyat beragama Islam pada 24 Oktober ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, walau bagaimanapun, langkah-langkah keselamatan perlu diambil memandangkan keadaan negara jiran ketika ini masih lagi berlaku pergolakan.

"Sekarang ini negara jiran masih ada berlaku pergolakan dan letupan sana sini, jadi kita sarankan supaya orang ramai berhati-hati apabila berkunjung ke sana.

"Ikut saluran yang betul apabila ke negara orang dan jangan masuk secara haram," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Sedekad Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampus Kota di sini hari ini.

Semalam, Wan Mohd. Zain Wan Hussain, 46, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa yang membonceng 'motosikal tambang' telah ditahan oleh polis untuk pemeriksaan.

Ketika polis sedang menjalankan pemeriksaan, sekumpulan lelaki lengkap dengan senjata api telah melepaskan tembakan rambang ke atas pasukan keselamatan sehingga terkena Wan Mohd. Zain.

Bukan itu sahaja, dikatakan sebutir bom yang diletakkan kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian telah meletup selepas insiden berkenaan. - UTUSAN ONLINE