Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, sejak diwujudkan pada 1987, AIM telah berjaya membantu menangani isu isi rumah termiskin khususnya dalam kalangan wanita.


Selama penubuhannya, kata Noraini, AIM ternyata berjaya meninggalkan legasi yang cukup bermakna buat hampir 377,000 orang wanita yang telah bernaung di bawah badan tersebut melalui saluran pinjaman mikro hingga berjaya mengubah taraf kehidupan masing-masing.


Bahkan, AIM telah merekodkan kadar bayaran balik membanggakan apabila lebih 98.26 peratus daripada lebih kurang 377,000 peminjam melunaskan pinjaman sejak skim pembiayaan kredit mikro itu diperkenalkan 31 tahun lalu.

“AIM mengeluarkan pinjaman keseluruhan berjumlah RM20.23 bilion kepada kumpulan sasar sejak skim itu dimulakan pada 1987 hingga Jun 2018.


“Dari segi pembayaran balik, kita berada pada tahap baik iaitu kira-kira 98.26 peratus, sekali gus menunjukkan peminjam yang mana majoritinya adalah wanita komited membuat bayaran mengikut jadual,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin mengenai kerajaan akan memulakan prosedur pembatalan Sijil Pemerbadanan AIM kerana tidak memenuhi syarat-syarat Suratcara Ikatan Amanah terutamanya dalam penubuhan anak-anak syarikat. -UTUSAN ONLINE