Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Datuk Mat Lazim Idris berkata, pihaknya bagaimanapun meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan menerusi Operasi Payung.

Beliau berkata, setakat ini hanya dua buah sekolah rendah yang terlibat dengan banjir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kenering yang telah surut paras airnya sementara SK Simpang Tiga, Parit pula dijadikan sebagai pusat pemindahan.

“Kita mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sekiranya pusat peperiksaan ini terlibat dengan banjir sehingga menyebabkan para pelajar tidak dapat ke sana.

“Malahan, ada jawatankuasa khas ditubuhkan dalam Operasi Payung ini. Namun, pada hari ini, semua sekolah beroperasi seperti biasa dan tiada yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau perjalanan hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE