Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pelaksanaan tindakan itu berpotensi mengundang masalah baharu, ia mungkin menyebabkan pekerja tempatan atau asing yang diambil bekerja secara sah di negara ini kehilangan sumber mata pencarian.

"Kalau aset syarikat dibekukan, ia akan membawa kesan besar terhadap pekerja lain. Contohnya majikan tidak dapat meneruskan operasi syarikat dan akan memberhentikan pekerja lain.

"Tindakan tersebut bukan hanya menjejaskan operasi syarikat berkenaan malah secara tidak langsung mendatangkan kesan tidak baik kepada pekerja. Mereka akan hilang pekerjaan," katanya kepada di sini.

Shamsuddin berkata demikian mengulas tindakan yang akan dilaksanakan Jabatan Imigresen membekukan aset majikan selaras dengan peruntukan Akta Imigresen 1959/63 mengikut Seksyen 56(1), yang sudah lama wujud tetapi tidak dilaksanakan sebelum ini.

Pelaksanaan undang-undang itu dibuat setelah perkara tersebut dirujuk kepada penasihat undang-undang bagi membolehkan pelaksanaan akta sedia ada dimanfaatkan sepenuhnya.

Jabatan Imigresen dilaporkan akan memberi tempoh sehingga hujung bulan ini kepada mana-mana majikan terbabit untuk mematuhi undang-undang sebelum tindakan pembekuan aset dilaksanakan berkuat kuasa bulan depan.

Menurut Shamsuddin, beliau telah meneliti akta tersebut dan mendapati tiada sebarang peruntukan yang membenarkan pihak berkuasa membekukan aset majikan yang melindungi atau menggaji PATI.

"Bagi kesalahan melindungi seorang hingga lima PATI secara sengaja, majikan terbabit akan dikenakan denda tidak kurang RM10,000 tapi tidak lebih RM50,000 bagi setiap PATI atau penjara tidak kurang enam bulan tapi tidak lebih lima tahun.

"Bagi majikan yang melindungi lebih daripada lima PATI secara sengaja boleh didenda minimum RM10,000 tapi tidak lebih RM50,000 bagi setiap PATI atau penjara tidak kurang enam bulan tapi tidak lebih lima tahun atau rotan tidak lebih enam sebatan," katanya.

Tambah Shamsuddin, bagi kesalahan bersubahat dengan PATI pula, majikan yang didapati bersalah akan didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Saya tidak pasti dari mana peruntukan itu diambil bagi melaksanakan pembekuan aset. Saya rasa tiada kuasa pembekuan aset di bawah seksyen 56 (1)," katanya.

Pendapat yang sama turut dikongsi Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Yong Poh Kon yang mencadangkan agar kerajaan memperhalusi cadangan itu untuk mengelak sebarang implikasi jangka panjang terhadap industri dan pekerja lain.

"Walaupun boleh difahami bahawa masalah pekerja haram perlu ditangani, ia hanya adil jika industri tidak terlalu disekat dalam mendapatkan sumber pekerja yang sah untuk memenuhi keperluannya," kata beliau.

Poh Kon berkata, kerajaan perlu mengkaji semula program untuk menghalalkan pekerja tanpa izin jika kerajaan serius untuk mengurangkan pekerja haram di negara ini.

"Peraturan dan prosedur bagi pengambilan dan lanjutan permit kerja hendaklah dikurangkan dan dipermudahkan. Program untuk menghalalkan pekerja tanpa izin belum lagi berjaya kerana prosedur yang ketat dan mahal," tambah beliau. - BERNAMA