Hafiz, 33, atau nama sebenarnya, Muhammad Hafiz Hamidun memfailkan permohonan tersebut mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 kira-kira pukul 1 petang.

Hafiz yang hadir bersama peguam syarienya,  Azmi Mohd. Rais mendakwa permohonan cerai ke atas isterinya, Joy Revfa atau nama sebenarnya, Siti Arifah Mohd. Amin,30, dibuat berikutan tidak wujud lagi persefahaman antara mereka selain mendakwa usahawan kosmetik itu melawan dan mengingkari segala suruhan Hafiz sebagai seorang suami termasuk menjatuhkan imej dan reputasinya.

“Joy juga seringkali menyusahkan saya selepas bernikah kerana dia masih gagal menyelesaikan isu berkaitan perkahwinan terdahulu yang mana status penceraian mereka itu hanya dapat diselesaikan pada 10 Oktober lalu,” katanya.

Sementara itu, Hafiz turut memaklumkan dia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya Joy masih mengeluarkan kenyataan berunsur negatif berkaitan dirinya kepada umum.

Mahkamah menetapkan 25 Oktober ini untuk sebutan kes tersebut.

Saman berhubung permohonan (cerai) itu akan diserahkan pada sidang akhbar yang dibuat oleh Joy pada petang ini di Shah Alam.

Hafiz dan Joy telah mendirikan rumah tangga pada 1 Mei lalu. Joy pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun. - UTUSAN ONLINE