Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, bagaimanapun, setakat ini tiada permohonan untuk berbuat demikian daripada mana-mana agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Siasatan kes ini dijalankan SPRM. Bagaimanapun, jika ada permintaan, Jabatan Imigresen akan melakukan ketetapan yang diperuntukkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Tampar Sedia Berjasa Piala Ketua Pengarah Imigresen di Universiti Tenaga Malaysia (Uniten) di sini hari ini.

Mustafar berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Ahmad Zahid akan dise­narai hitam daripada ke­luar negara selepas pasportnya diserahkan kepada mahkamah semalam.

Semalam, Ahli Parlimen Ba­gan Datuk itu menghadapi 45 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM114 juta di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu berlangsung selama tiga hari sehingga esok dan disertai oleh 30 pasukan daripada Jabatan Imigresen di seluruh negara.

Dalam pada itu, Mustafar turut memberi jaminan bahawa proses pengeluaran pasport kepada orang ramai tidak tergugat susulan pendakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri yang dikaitkan dengan pembekalan tender cip dokumen tersebut.

Ujarnya, Jabatan Imigresen akan bersiap-siaga bagi memastikan stok pasport mencukupi dan sentiasa ada.

Dalam perkembangan lain, Mustafar memaklumkan, sebanyak 12,000 operasi telah dilaksanakan sejak awal tahun ini sehingga semalam bagi menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara.

“Sebanyak 154,000 PATI diperiksa dan 38,000 ditangkap manakala 1,100 majikan ditangkap dan akan dihadapkan ke mahkamah. Operasi akan dilakukan secara berterusan bagi menjejaki PATI yang tidak mempunyai dokumen sah,” ujarnya.