Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, selain itu, dalam memastikan kawalan di pintu masuk sentiasa diperketatkan, VIP juga perlu membawa dan melakukan imbasan pasport masing-masing.

“Jika melibatkan barangan yang dibawa, ia melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Bagaimanapun, apabila melibatkan pasport, sejak daripada dahulu pemegang pasport perlu melakukan imbasan sendiri dan bukannya di bawah pegawai khas mereka.

“Tiada pengecualian bagi mana-mana individu termasuk bayi yang hendak ke luar negara, yang mana kita juga akan memeriksa pasport dengan melihat muka,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di UTC Anggerik Mall di sini hari ini.

Sementara itu, sepanjang operasi penguatkuasaan sejak 1 Januari hingga semalam, seramai 40,590 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen dalam 12,569 operasi yang dijalankan di seluruh negara.

“Sepanjang tempoh tersebut, telah memeriksa seramai 164,471 warga asing yang berada di negara ini. Malah, daripada operasi ini, seramai 1,163 majikan ditahan ekoran kedegilan mereka melindungi dan menggaji PATI.

“Di Selangor khususnya, 4,386 PATI ditahan hasil pemeriksaan terhadap 14,043 individu melibatkan sebanyak 722 operasi. Kita hendak menegaskan bahawa aspek penguatkuasaan akan terus dijalankan dan mengingatkan majikan jangan mengambil jalan mudah,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE