Khirudin berkata, beliau hanya menafikan punca kebakaran berpunca daripada litar pintas dan menyatakan ia masih dalam siasatan.

"Saya ingin menegaskan, saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengenai penemuan bahan kimia di tempat kejadian seperti dilaporkan portal tersebut.

"Laporkanlah perkara yang betul, kes sensitif seperti ini tidak sepatutnya disensasikan," katanya ketika dihubungi di sini.

Terdahulu, dalam sidang akhbar di tempat kejadian, Khirudin berkata hasil siasatan mendapati kotak suiz elektrik utama di pusat tahfiz tersebut berada dalam keadaan yang baik.

Tambahnya, ada unsur lain namun semuanya masih disiasat dan hanya boleh mendedahkannya selepas keputusan rasmi disahkan. - UTUSAN ONLINE