Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Seri Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, walau bagaimanapun, pihaknya sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kami telah mengawasi setiap bot yang menyusuri sempadan perairan negara khususnya di Langkawi, Kedah bagi memastikan tiada cubaan menyusup masuk dilakukan.

“Berdasarkan pengalaman lalu, kami mempercayai bahawa sekiranya perkara itu berlaku, berkemungkinan pelarian tersebut akan menukar arah pelayaran dan menuju ke negara jiran yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 10 Oktober lalu, Maritim Malaysia telah menerima maklumat dari pihak polis pada pukul 9 pagi yang mempercayai seramai 200 orang pelarian Rohingya sedang dalam pelayaran menuju masuk ke perairan Malaysia dengan menggunakan empat buah bot kecil. - UTUSAN ONLINE